Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail mengakui layangan kad merah memaksa pasukan itu mengubah strategi bila berdepan Sanfrecce Hiroshima.
Selepas mendahului 1-0 menerusi Marcos Guilherme, JDT dipaksa bermain dengan 10 pemain oleh pengadil China, Ma Ning. Ini selepas beliau mengesan Jonathan Silva menepis bola dengan tangan.
Hal ini membawa kepada gol penyamaan tuan rumah menerusi penalti Akito Suzuki. Sanfrecce kemudiannya meraih kemenangan menerusi gol kedua Suzuki pada separuh masa kedua.
Afiq mengakui disebabkan kad merah itu, JDT terpaksa mempertahankan kelebihan satu gol dengan 10 pemain tetapi gagal membuahkan hasil.
“Kami terpaksa bertahan untuk kekalkan satu jaringan itu. Tetapi apakan daya, kami tetap bolos dua (gol).
“Jadi, kita kena kerja lebih lagi lepas ini,” katanya selepas aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Keputusan ini menyaksikan Sanfrecce yang dibimbing Bartosch Gaul mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE.
JDT pula perlu meraih kemenangan ke atas Vissel Kobe dalam aksi terakhir Liga Timur ACLE jika ingin mengulangi pencapaian musim lalu.