Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memilih berahsia berhubung perancangan taktikal menentang pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC.
Ini kerana pada hematnya, beliau tidak ingin memberi sebarang kelebihan kepada pasukan yang dibimbing Kim Pan-gon itu.
“Saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana pihak lawan boleh membaca dan merancang siapa yang akan diturunkan atau tidak,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Meskipun mengunci mulut berhubung rancangannya menentang Selangor, Aidil menyifatkan aksi liga membabitkan kedua-dua pasukan itu kali ini dijangka menarik.
Ini kerana Selangor sudah pasti akan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk melebarkan rekod tanpa kalah Pan-gon.
“Perlawanan ini pasti menarik dan sukar kerana kami tahu Selangor bermain di MBPJ dengan sokongan penyokong mereka sendiri,” tambahnya.
Selangor dan Kuching City akan berentap di Stadium MBPJ pada 22 Februari ini. Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan memburu mata untuk merebut tempat kedua liga.
Malah, ini dilihat sebagai persiapan buat kedua-dua pasukan sebelum kembali bertemu di pentas separuh akhir Piala Malaysia.