Advertisements
Akmal Rizal Serah Nasib Kepada Penang
Liga Super
MakanBola
Penang FC

Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyerahkan kedudukannya sebagai jurulatih untuk dinilai pengurusan pasukan itu.

Ini selepas Sang Harimau Kumbang gagal merekodkan kemenangan buat kali kelima apabila kecundang 1-0 kepada Sri Pahang FC pada 20 Oktober lalu.

Penyerang Ukraine, Mykola Ahapov muncul wira Tok Gajah dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir babak pertama. Kemenangan itu turut memadamkan memori kekalahan 3-0 Sri Pahang di tangan Perak FC pada 28 September lalu.

Kekalahan kelima Penang ini meletakkan pasukan itu di tangga ke-11 liga dengan 11 mata selepas mengharungi 12 perlawanan. Tempoh tersebut turut menyaksikan Penang meraih kemenangan sebanyak dua kali dan lima keputusan seri.

Akmal mengakui dengan keputusan yang dialami Penang kebelakangan ini, beliau menyerahkan nasib kepada pengurusan pasukan tentang kedudukannya sebagai jurulatih.

Pada masa sama, beliau bersedia untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dan kembali bangkit bersama para pemain jika terus diberi kepercayaan oleh pengurusan Penang.

“Saya sudah melakukan yang terbaik, yang mampu saya lakukan. Tetapi saya masih percaya dengan kualiti pemain, dengan apa yang telah dilakukan pemain sepanjang separuh musim ini.

“Kita akan terus bekerja, kita akan terus berjuang mendapatkan kedudukan yang kita mahukan. Jika terus kepercayaan diberi kepada saya, pasti akan bersama-sama pemain untuk terus bangkit,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Akmal turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengalaman berharga buat dirinya untuk menjadi jurulatih yang lebih baik.

Atas sebab itu, selagi terus diberi kepercayaan oleh pengurusan Penang, beliau akan terus berusaha membentuk pasukan itu menjadi satu pasukan yang mantap.

“Saya telah berikan yang saya mampu kepada para pemain. Pemain-pemain telah mengikut setiap pelan dan setiap arahan yang dilakukan. Tetapi pemain sudah bagi yang terbaik, tidak ada sebarang rungutan daripada saya kepada pemain-pemain.

“Cuma mungkin kegagalan yang ada sekarang mungkin kekurangan pada diri saya. Tapi apa pun, saya akan terus belajar dan belajar dan akan terus bekerja keras untuk pastikan pasukan ini menjadi pasukan yang lebih baik selepas ini,” ujarnya.

Menurut wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, barisan ahli lembaga pengarah Penang bakal mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 21 Oktober bagi membincangkan prestasi pasukan.

“Lima perlawanan tanpa kutipan tiga mata penuh, ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Rakhli serah kepada pihak pengurusan andai perlu ada keputusan di ambil segera.

“Satu mesyuarat tergempar bakal diadakan esok (Isnin) melibatkan Ahli Lembaga Penang FC jam 2.00 petang,” katanya di X.

Seandainya Penang memilih melepaskan khidmat Akmal, pasukan itu bakal menjadi pasukan Liga Super kedua yang menukar jurulatih.

Sebelum ini, Negeri Sembilan FC menjadi pasukan pertama melakukannya dengan melantik K. Nanthakumar sebagai jurulatih baru pasukan menggantikan Azzmi Aziz.