Pemain tengah Terengganu FC, Akram Mahinan tekad memberikan sepenuh tenaga bagi membantu pasukan baharunya itu mengharungi saingan Liga Malaysia 2024/2025.
Beliau berazam untuk mempamerkan aksi lebih berkualiti berbanding musim-musim terdahulu bagi mengangkat pasukan Terengganu menjadi pencabar utama di pentas Liga Malaysia musim hadapan.
”Saya perlu berusaha lebih untuk memberi lebih kualiti daripada saya main dengan KL City (sebelum ini),” katanya ketika ditemu bual oleh Astro Arena.
Pemain berusia 31 tahun itu juga memasang impian untuk mencapai lebih banyak kejayaan bersama skuad Sang Penyu memandangkan jaguh Pantai Timur itu merupakan pasukan yang sering diberi tumpuan oleh peminat bola sepak tempatan.
“Saya nak capai lebih lagi di sini (Terengganu) sebab kelab ini kelab yang besar di Pantai Timur ini. Jadi, satu impian saya jugalah untuk saya bermain dengan Terengganu dan saya perlu lebih fokus,” tambah tonggak tengah tersebut.
Musim lalu, beliau yang dihimpit masalah kecederaan bertekad untuk mengembalikan prestasi terbaiknya dan bersyukur buat masa ini beliau masih bebas dari sebarang kecederaan.
“Daripada hari pertama sehingga tiga minggu ini, alhamdulillah semua berjalan dengan lancar sebab tiada kecederaan lagi buat masa ini.”
Akram menyertai Terengganu pada awal Februari lalu setelah menghabiskan hampir empat musim bersama KL City sejak 2020.
Kecemerlangan Akram mengemudi bahagian tengah berjaya membantu skuad warga kota itu menjulang Piala Malaysia 2021 serta mara ke final AFC Cup 2022 dan Piala FA 2023.