Advertisements
Akram Mahinan Selangkah Ke Terengganu
Transfer
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan dikhabarkan tidak akan kekal bersama pasukan ‘ibu kota’ itu apabila difahamkan bakal menyertai Terengganu FC musim hadapan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melalui satu ciapannya di laman X rasmi beliau sebentar tadi.

“Akram Mahinan dijangka ke Terengganu, urusan perpindahan difahamkan hampir selesai,” coret Zulhelmi di laman X.

Kehadiran Akram ke Terengganu dijangka akan memperkuatkan bahagian tengah Sang Penyu yang disahkan kehilangan dua tonggak tengah untuk musim hadapan iaitu pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dan kapten pasukan, Habib Haroon.

Akram Mahinan melalui perjalanan yang baik bersama KL City sejak beberapa musim kebelakangan ini. Antara pencapaian terbaik yang dicapai adalah menjuarai Piala Malaysia musim 2021 dan melangkah ke final Piala AFC 2022.

Musim ini, beliau telah diturunkan dalam 21 perlawanan dalam kesemua pertandingan. Biarpun tidak berjaya menjaringkan sebarang gol, namun keupayaan mematahkan serangan lawan adalah aset utama beliau.

Pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco sebelum ini pernah melabel Akram sebagai ‘enjin tak masuk akal‘ dek kerana kerja kerasnya membantu KL City selain erjaya menguasai segenap kawasan padang.