Selepas beberapa lama, akhirnya aksi persahabatan yang dicanang antara Indonesia dan juara Piala Dunia 2022, Argentina menjadi kenyataan. Ini selepas Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengumumkan dua aksi persahabatan yang diadakan dalam kalendar antarabangsa FIFA pada Jun ini.
Mengikut maklumat yang disiarkan di laman media sosial mereka, Albiceleste bakal menentang Australia di Beijing, China pada 15 Jun. Dan empat hari kemudian, pasukan yang dibimbing Lionel Scaloni itu bakal menentang Tim Garuda yang dibimbing Shin Tae-yong.
Sebaik dua perlawanan tersebut diumumkan di laman media sosial, ramai penyokong Indonesia teruja dengan prospek legenda Argentina, Lionel Messi beraksi di Indonesia. Malah, ada yang berharap pasukan kebangsaan yang diketuai kapten Jordi Amat mampu beraksi cemerlang dalam perlawanan itu nanti.
Selain Argentina, Indonesia juga turut mengatur satu lagi aksi persahabatan menentang Palestin yang diadakan pada 14 Jun ini. Susulan itu, pemain-pemain yang menerima panggilan Tim Garuda bakal menyertai latihan pusat pada 6 Jun ini.
Dijangkakan ramai pemain yang terlibat dalam kempen Piala Dunia 2022 bakal menyertai Argentina untuk dua aksi persahabatan berkenaan. Antara yang dijangka turun selain Messi ialah Julian Alvarez (Manchester City), Emiliano Martinez (Aston Villa), Angel Di Maria (Juventus) dan Lautaro Martinez (Inter Milan).
Begitupun, beberapa pemain Albiceleste dijangka tidak akan menyertai dua aksi persahabatan berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah bek tengah Manchester United, Lisandro Martinez menurut laporan Daily Mail.
Ini selepas Martinez mengalami kecederaan patah tulang metatarsal yang memerlukannya berehat selama lebih enam minggu. Bek tengah Argentina itu berharap dapat kembali cergas menjelang pra-musim Red Devils pada Julai ini.