Aksi Singapura & Papua New Guinea Terpaksa Ditangguhkan

FA Singapore Aksi Singapura & Papua New Guinea Terpaksa Ditangguhkan
FA Singapore
Azim Noor @mohdazim45
3:56pm 14/06/2023

Hasrat Singapura mengadakan perlawanan persahabatan dengan Papua New Guinea pada 15 Jun ini terpaksa ditangguhkan. Susulan kelewatan Kapuls mendapatkan penerbangan ke Singapura, perlawanan tersebut bakal diadakan pada Jumaat ini sekitar jam 7.30 malam.

Menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), keputusan ini dibuat atas permintaan Persatuan Bola Sepak Papua New Guinea (PNGFA). Ini selepas rombongan pemain dan pegawai tidak dapat sampai ke Singapura pada tarikh yang ditetapkan.

Kapuls sepatutnya tiba di Singapura pada 13 Jun menggunakan penerbangan nasional rasmi Papua New Guinea, Air Niugini tetapi penerbangan tersebut dibatalkan. PNGFA kemudiannya cuba mendapatkan penerbangan alternatif untuk pasukan kebangsaan mereka tetapi gagal.

Atas sebab itulah, PNGFA memaklumkan mereka akan tiba di Singapura pada petang 15 Jun menggunakan penerbangan Air Niugini. Ini sekaligus mendorong tarikh perlawanan dianjak ke tarikh baru iaitu pada 16 Jun ini.

“Kedua-dua Presiden dan Pemangku Setiausaha Agung PNGFA telah berhubung kepada FAS untuk menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada FAS dan peminat bola sepak Singapura atas perkara yang tidak disangka-sangka ini.

“Mereka juga turut menyatakan penghargaan kepada FAS kerana bersetuju menjadualkan semula perlawanan dalam masa singkat dan tidak sabar melihat kedua-dua pasukan beraksi di atas padang pada Jumaat,” kata FAS dalam satu kenyataan rasmi hari ini.