Juara bertahan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Al-Ahli dan pemain pertahanan mereka, Ali Majrashi dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ini selepas Jawatankuasa Etika dan Tatatertib AFC mengumumkan hukuman ke atas kelab itu dan Ali baru-baru ini.
Al-Ahli dikenakan denda berjumlah AS$7,000 (RM27,700) untuk dua kesalahan. Ini selepas mereka didapati lewat kembali ke padang untuk babak kedua untuk aksi suku akhir ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kali keempat Al-Ahli dikesan melakukan kesalahan tersebut. Selain itu, enam pemain Al-Ahli menerima kad kuning yang dilayangkan pengadil Jordan, Adham Makhadmeh dalam perlawanan sama.
Ali pula dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak AS$2,000 (RM8,000). Ini susulan insiden kekasaran membabitkan dirinya dan penyerang JDT, Jairo da Silva.
Insiden tersebut menyebabkan penyerang Brazil itu tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di atas padand sebelum dikejarkan ke hospital. Jairo kemudiannya menerima 30 jahitan di bahagian atas bibir.
Al-Ahli bukan satu-satunya pasukan yang dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Etika dan Tatatertib AFC. JDT juga dikenakan denda AS$7,000 (RM27,700) oleh AFC.
Ini selepas tujuh pemain Harimau Selatan menerima kad kuning dalam aksi sama menentang Al-Ahli.