“Al-Ahli Lebih Bertuah & Berkualiti” – Xisco Munoz
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan pasukan lawan, Al-Ahli lebih bernasib baik berbanding skuad kendaliannya ketika tewas dalam perlawanan suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) pada Jumaat.

Impian besar JDT untuk melangkah ke separuh akhir ACLE tidak kesampaian apabila terpaksa akur tunduk 1-2 kepada juara bertahan, Al-Ahli dalam aksi suku akhir yang dramatik pada Jumaat.

Gol sendiri Ali Majrashi meletakkan JDT di hadapan seawal minit ke-19 sebelum Frank Kessie serta Wenderson Galeno memastikan kemenangan buat Al-Ahli di hadapan peminat sendiri.

Xisco Munoz yang ditemui ketika sidang media perlawanan tersebut tampil mengucapkan tahniah kepada Al-Ahli yang muncul sebagai pemenang dan turut memperagakan aksi yang baik.

”Saya ingin mengucapkan tahniah buat pihak lawan kerana itu begitu penting, lebih-lebih lagi apabila kamu berdepan perlawanan yang bagus dan mereka beraksi dengan sangat baik seperti malam ini.”

Tambah beliau, dalam bola sepak, tuah serta kualiti sesebuah pasukan berjaya membantu menghasilkan jaringan dan itulah yang terjadi ketika mana Al-Ahli lebih tajam di hadapan pintu gol berbanding pemain JDT.

“Saya hanya boleh katakan, inilah kadangkala dalam bola sepak.

“Mereka mungkin lebih bernasib baik atau memiliki kualiti yang lebih tinggi di bahagian serangan akhir, dan mereka berjaya menjaringkan lebih banyak gol berbanding kami.”

“Namun, saya fikir ini adalah satu persembahan yang amat baik (apabila) pasukan kami mampu bersaing dengan baik dan sentiasa berada dalam permainan,” komen Xisco Munoz.

Keputusan 2-1 ini menyaksikan JDT bakal kembali ke tanah air untuk memberikan tumpuan kepada aksi domestik yang berbaki sementara Al-Ahli akan menentang Vissel Kobe di separuh akhir ACLE.