Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ittihad mencipta kejutan dengan menewaskan juara Serie A musim 2023/24, Inter Milan dalam aksi persahabatan pra-musim.
Pertemuan dua pasukan ini bukan saja menguji kemantapan kedua-dua pasukan sebelum pra-musim 2024/25 bermula. Malah, ini peluang buat Nadi Al-Watan memperkenalkan beberapa bintang baru seperti Moussa Diaby dan Hossem Aouar.
Separuh masa pertama menyaksikan Nerazzurri berusaha mendominasi perlawanan menerusi dua penyerang berbisa mereka, Marcus Thuram dan Angel Correa.
Malangnya, setiap percubaan Inter berjaya ditepis penjaga gol Al-Ittihad dari Serbia, Predrag Rajkovic. Sebaliknya, giliran kelab gergasi Asia itu untuk memecah kebuntuan perlawanan.
Diaby yang tiba dengan yuran perpindahan £50.5 juta (RM287 juta) dari Aston Villa meletakkan anak buah Laurent Blanc di hadapan pada minit ke-25.
Tersentak, Nerazzurri yang dibimbing Simone Inzaghi berusaha menyamakan kedudukan menerusi Thuram dan Correa tetapi gagal.
Kecekapan Rajkovic mengawal gawang Nadi Al-Watan memastikan pelawat mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Inter dan Al-Ittihad membuat beberapa pertukaran pemain untuk memberi peluang kepada pemain lain beraksi.
Kepantasan Diaby yang pernah beraksi untuk Bayer Leverkusen terus mengundang masalah kepada pertahanan kelab Serie A itu. Dan Inter sekali lagi dihukum pada minit ke-47.
Diaby berjaya melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan Nerazzurri sebelum meledakkan bola melepasi jangkauan penjaga gol gantian, Josep Martinez.
Inter terus berusaha memburu gol penyamaan tetapi Rajkovic terus menjadi penghalang kepada usaha pasukan itu. Kecekapan bekas penjaga gol Real Mallorca itu memastikan Al-Ittihad meraih kemenangan 2-0 pada akhir perlawanan.
Inter bakal menutup kempen pra-musim dengan menentang Chelsea pada 11 Ogos ini.