Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo semakin menghampiri final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bersama Al-Nassr.
Ini selepas pendahulu Saudi Pro League (SPL) itu menewaskan Al-Wasl 4-0 di peringkat suku akhir.
Al-Nassr tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Ronaldo pada minit ke-11. 13 minit selepas itu, Inigo Martinez menanduk bola melepasi penjaga gol lawan, Mohamed Ali.
Abdulelah Al-Amri menambah derita Al-Wasl dengan gol ketiga pada minit ke-26. Bekas bintang Liverpool, Sadio Mane melengkapkan kecemerlangan Al-Nassr dengan gol keempat pada minit ke-80.
Keputusan ini menyaksikan Al-Nassr bakal bertemu dengan wakil Qatar, Al-Ahli SC di peringkat separuh akhir.
Pemenang aksi berkenaan bakal bertemu dengan wakil Jepun, Gamba Osaka di peringkat akhir pada 16 Mei. Pemenang juga bakal beraksi di final di gelanggang mereka sendiri.
Sekiranya Al-Nassr berjaya mara ke final, mereka dijangka mendapat sokongan padu penyokong di Al-Awwal Park.
Ini juga memberi peluang buat Ronaldo menambah trofi kedua bersama Al-Nassr. Sebelum ini, beliau pernah membantu Al-Nassr menjulang trofi Arab Club Champions Cup pada 2023.