Al-Nassr & Cristiano Ronaldo Julang Trofi Liga Saudi
MakanBola
Roshn Saudi League

Penantian Cristiano Ronaldo menjulang trofi domestik bersama Al-Nassr selama tiga tahun berakhir.

Ini selepas kelab yang diberi jolokan Al-Alami itu muncul juara Saudi Pro League (SPL) dalam aksi terakhir liga. Al-Nassr muncul juara dengan menewaskan Damac FC 4-1.

Ronaldo, Sadio Mane dan Kingsley Coman masing-masing mencetak nama sebagai penjaring. Morlaye Sylla menyumbat gol saguhati buat Damac dalam perlawanan itu.

Kemenangan itu bukan saja menamatkan kemarau trofi SPL Al-Nassr selama tujuh musim. Malah, ini sekaligus turut menamatkan harapan musuh tradisi, Al-Hilal untuk meraih gelaran juara liga.

Sejak tiba di Arab Saudi, satu-satunya trofi yang dimenangi Ronaldo bersama Al-Nassr ialah Arab Club Champions Cup pada 2023.

Kejayaan ini juga mengubat kekecewaan anak buah Jorge Jesus di pentas Asia baru-baru ini. Ini selepas Al-Nassr tumbang di tangan kelab Jepun, Gamba Osaka di pentas final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Meskipun bergelar juara, Ronaldo terlepas peluang menambah gelaran Kasut Emas SPL. Ini kerana gelaran penjaring terbanyak liga dipegang Julian Quinones dengan 33 gol.

Penyerang Mexico itu mengatasi cabaran bekas peledak Brentford, Ivan Toney yang menjaringkan 32 gol dan Ronaldo (28 gol). Roger Martinez dan Joao Felix melengkapkan senarai lima penjaring terbanyak liga dengan masing-masing menjaringkan 23 dan 20 gol.