“Alhamdulillah” – Azizulhasni Awang
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang menzahirkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2028.

Sokongan daripada dua badan tersebut disahkan sendiri beliau menerusi satu hantaran video di semua platform media sosial baru-baru ini.

“Alhamdulillah, (jawapannya) ya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya seluruh rakyat yang tampil berdiri teguh di belakang saya yang lemah ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak KBS dan MSN yang masih memerlukan khidmat saya dan memenuhi mandat rakyat.

“Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya di Instagram.

Pengesahan ini cukup bermakna buat anak jati Dungun, Terengganu itu. Ini kerana pada hemat Azizulhasni, hal ini menunjukkan beliau dapat menabur bakti buat Malaysia sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (US).

Pengesahan ini juga membolehkan jaguh berusia 38 tahun itu kembali fokus untuk memburu kejayaan di pentas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.