Pemain pertahanan Al-Ahli, Ali Majrashi melawat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva baru-baru ini.
Nama kedua-dua pemain ini menjadi tumpuan susulan insiden yang berlaku dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara kedua-dua pasukan.
Cubaan Ali mengeluarkan bola menyebabkan kakinya terkena kepala Jairo pada separuh masa pertama. Insiden itu menyebabkan bekas penyerang Pafos itu tidak sedarkan diri.
Pasukan perubatan kedua-dua pasukan segera memberi rawatan kepada Jairo sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Ali pula kemudiannya dilayangkan kad merah oleh pengadil Jordan, Adham Makhamdeh atas apa yang berlaku. Jairo kemudiannya dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.
Susulan itu, pengurusan Al-Ahli memaklumkan pemain berusia 26 tahun itu melawat Jairo untuk bertanya khabar tentang keadaan dirinya. Ali turut mendoakan penyerang Brazil itu cepat sembuh.
“Pemain pasukan utama, Ali Majrashi melawat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva di kediamannya di Jeddah untuk memeriksa tahap kesihatannya.
“Lawatan ini mencerminkan semangat kesukanan dan ikatan yang kukuh antara pemain, selaras dengan nilai-nilai Al-Ahli.
“Majrashi menzahirkan harapan ikhlasnya untuk kesihatan da Silva yang berterusan dan dapat kembali semula ke padang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Ali, pengurusan Al-Ahli turut menghantar wakil untuk melawat Jairo. Selain bertanya tentang keadaan terkini beliau, mereka turut membawa hadiah sejambak bunga buatnya.