Jairo Dibenarkan Keluar Hospital
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva telah dibenarkan keluar hospital pada Sabtu.

Sebelum ini, penyerang Brazil itu dikejarkan ke Kompeks Perubatan Raja Abdullah selepas mengalami kecederaan dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Al-Ahli.

Ini selepas kaki pemain pertahanan Al-Ahli, Ali Majrashi terkena kepala Jairo semasa cuba mengeluarkan bola.

Susulan itu, pasukan perubatan kedua-dua pasukan memberi rawatan kecemasan kepada beliau sebelum menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beberapa jam selepas itu, Jairo memaklumkan beliau dalam keadaan baik dan menerima 30 jahitan di bahagian atas bibir. Ini berdasarkan satu video penyokong Al-Ahli yang dikongsikan di X.

Pengurusan JDT kemudiannya memaklumkan Jairo sudah dibenarkan meninggalkan hospital. Kelab turut mendoakan beliau cepat sembuh.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan Jairo Da Silva semoga cepat sembuh selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala ketika aksi Liga Juara-Juara AFC Elit bertemu Al Ahli di Arab Saudi malam semalam.

“Jairo yang menghasilkan bantuan jaringan untuk gol JDT telah menjalani X-Ray dan imbasan CT di Kompeks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah penjagaan awal dan telah menerima beberapa jahitan di bibir yang terkoyak.

“Jairo telah dibenarkan keluar dari hospital,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perjuangan JDT dalam ACLE berakhir apabila pasukan itu tewas 2-1 kepada Al-Ahli di peringkat suku akhir. Al-Ahli dijadual bertemu pasukan gergasi Jepun, Vissel Kobe di peringkat separuh akhir.