Keadaan terkini penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva dikongsikan oleh wartawan Arab Saudi.
Jairo Da Silva menjadi perhatian ramai selepas muka beliau ditendang oleh salah seorang pemain Al-Ahli ketika sedang berebut bola di udara pada aksi suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Insiden yang berlaku pada minit ke-37 itu berpunca apabila Jairo mahu menanduk bola di udara sementara pemain Al-Ahli, Ali Majrashi pula membuat sepakan akrobatik sehingga mengenai muka pemain JDT itu.
Akibat tendangan itu, Jairo terus rebah di atas padang dan segera diusung keluar oleh pegawai perubatan sementara Ali Majrashi pula dilayangkan kad merah akibat tindakan kasar tersebut.
Perkembangan terkini Jairo dikongsikan oleh wartawan Arab Saudi, Farag Al-Syamri yang memuat naik beberapa keping foto di laman X Ariyadhiah yang menyaksikannya kini dalam pengawasan Unit Rawatan Rapi.
Jairo Da Silva turut dilaporkan dalam keadaan stabil setelah mengalami kecederaan di bahagian muka dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan dalam masa terdekat untuk menilai status semasanya.
Harapan penyokong supaya Jairo Da Silva tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan mampu kembali bersama pasukan tidak lama lagi.