Penyerang Selangor FC, Ali Olwan berharap dapat terus memperagakan aksi terbaik demi membantu pasukan itu meraih kemenangan.
Penyerang Jordan itu kembali berbisa apabila meledakkan gol dalam aksi terbaru Liga Super menentang Sri Pahang FC baru-baru ini. Selain beliau, Ronnie Fernandez turut mencipta nama sebagai penjaring.
Dua gol tersebut bukan saja memastikan Merah Kuning meraih kemenangan ke atas Tok Gajah. Malah, Selangor turut berjaya membalas dendam kepada lawan sama yang menyingkirkan mereka dalam saingan Unifi Piala Malaysia.
Selepas tiba di Malaysia dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), Ali berharap dapat membantu Selangor menamatkan musim dengan positif.
“Selagi saya boleh bantu pasukan, selagi saya dapat (bantu Selangor raih) kemenangan, saya gembira,” katanya.
“Dan saya ada banyak lagi yang ingin diberikan kepada pasukan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.”
Sepanjang bersama Selangor, Ali merekodkan 15 penampilan, tiga gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan.
Kehadiran penyerang berusia 24 tahun itu bakal ditagih untuk aksi final pertama MFL Challenge Cup menentang PDRM FC pada 15 Februari ini.