Pertembungan sesama sendiri antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Izzudin-Goh Sze Fei di pusingan pertama All England menyaksikan kemenangan berpihak kepada bekas juara dunia itu.
Aaron dan Wooi Yik turun ke gelanggang selaku pasangan pilihan dan diberi tentangan sengit oleh Izzudin dan Sze Fei dari awal permainan.
Namun aksi lebih kemas ditampilkan beregu nombor satu negara itu sekaligus berjaya menamatkan aksi di set pertama dengan keputusan tipis 21-19.
Bersambung set kedua, Izzudin-Sze Fei cuba bangkit merampas set kedua dengan pelbagai corak serangan bagi mematikan bulu tangkis di gelanggang lawan.
Namun, ketenangan yang dimiliki Aaron-Wooi Yik berjaya mendapatkan mata buat mereka sekaligus mengecewakan satu lagi beregu negara.
Izzudin dan Sze Fei yang semakin buntu terus ditinggal jauh oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sekaligus mengakhir set kedua dengan keputusan 21-17.
Kemenangan ini akan membawa beregu ini ke pusingan kedua untuk menentang pemenang di antara beregu Chinese Taipei atau beregu Kanada pada Khamis.