Lee Zii Jia berputih mata untuk mara lebih jauh dalam kejohanan ini setelah ditumbangkan Lakshya Sen dalam aksi suku akhir All England.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan Sen mempunyai rekod lebih baik dengan tiga kemenangan ke atas Zii Jia berbanding hanya satu kemenangan dicatatkan jaguh negara itu.
Zii Jia yang menundukkan Loh Kean Yew di pusingan sebelumnya kelihatan sedikit bergelut di awal permainan apabila Sen mempamerkan corak permainan pantas.
Meskipun begitu, wakil negara ini kekal tenang mengutip satu demi satu mata sehingga dapat mengikat kedudukan lawan 15-15 pada suatu ketika.
Peningkatan corak permainan Lee Zii Jia di hujung permainan berjaya menutup set pertama dengan kemenangan 22-20.
Skrip seakan sama berulang di set kedua apabila Lakshya Sen mula mempamerkan corak serangan pantas bagi memerangkap pemain negara itu.
Sen yang cemerlang mendahului di awal set kedua mula tertekan apabila Zii Jia mula mengejar hasil permainan rally panjang dan sekali lagi berjaya mengikat mata 14-14.
Namun, pemain muda India itu kekal fokus dan berjaya merampas set kedua 21-16 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Di set penentuan, kedua-dua pemain terus mempamerkan corak permainan agresif bagi meninggalkan lawan masing-masing dengan jarak mata yang jauh.
Namun, aksi sengit ini memihak wakil India ini meskipun dicabar hebat Lee Zii Jia sehingga tamat permainan.
Keputusan akhir, Lee Zii Jia tewas dengan keputusan 22-20, 16-21, 19-21.
Menanti Lakshya Sen di separuh akhir esok adalah pemenang di antara Shi Yu Qi dari China atau Jonatan Christie dari Indonesia.