Advertisements
All England: Tiket Final Milik Aaron-Wooi Yik, Kecewakan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Impian melihat wakil negara beraksi di pentas akhir All England tercapai setelah Aaron Chia-Soh Wooi Yik cemerlang singkirkan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Chinese Taipei.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang turun sebagai wakil tunggal negara mempunyai kelebihan dari segi rekod pertemuan apabila memenangi kesemua tiga pertemuan terdahulu menentang pasangan Chinese Taipei ini.

Kelebihan ini dimanfaatkan sepenuhnya pasangan negara untuk bermain lebih yakin dan sempat meninggalkan lawannya itu 14-9 pada suatu ketika.

Pertahanan kemas dan kebal ditampilkan Aaron-Wooi Yik sepanjang set pertama menyebabkan Jhe Huei-Po Hsuan buntu untuk melakukan serangan ke arah gelanggang Malaysia.

Ini membuka ruang untuk beberapa kesilapan kecil dilakukan beregu Chinese Taipei ini sekaligus menyumbang kepada kemenangan buat pasangan Malaysia di set pertama.

Bersambung set kedua, dominasi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini semakin sukar digugat apabila variasi corak serangan yang ditonjolkan gagal disekat lawan.

Meskipun pasangan di ranking ke-15 dunia ini cuba mengejar, namun beregu negara kekal tenang dan fokus memanfaatkan setiap peluang yang terhidang bagi meraih mata.

Kualiti yang dimiliki Aaron dan Wooi Yik ini membuatkan lawan menjadi tertekan sekaligus menutup cerita di set kedua dengan keputusan 21-15.

Keputusan akhir, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke final setelah menang 21-16, 21-15.

Ini merupakan pentas final All England kedua buat pasangan negara selepas kali terakhir mereka layak pada edisi 2019, yang mana ketika itu mereka tumbang kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pda perlawanan akhir.

Menanti di pentas akhir nanti adalah pemenang di antara juara bertahan, Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia atau juga jaguh Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang akan bertarung dalam satu lagi aksi separuh akhir.