Allee Putra Mahu Bawa Ilmu Dari Eropah Ke Liga Malaysia
MakanBola
TRW Kelantan FC

Bekas pemain Kelantan FC, Allee Putra Azril mahu berkongsi ilmu yang diraih di Sepanyol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Nama pemain tengah berusia 18 tahun ini mula dikenali apabila berkelana ke Sepanyol untuk beraksi bersama pasukan remaja Malaga City.

Selepas beberapa tahun bersama pasukan Sepanyol itu, Allee pulang ke Malaysia dan menyertai pasukan Kelantan. Beliau merekodkan 11 penampilan bersama The Red Warriors untuk musim 2023.

Allee kemudiannya kembali berhijrah ke Sepanyol dan menyertai semula Malaga City pada awal tahun ini. Kini, beliau mengintai peluang kembali ke Liga Super apabila tetingkap perpindahan kedua liga dibuka pada Ogos ini.

Tidak kira pasukan mana yang akan disertainya, Allee mahu berkongsi pengetahuan yang ditimba semasa berada di Sepanyol. Ini kerana ilmu yang dipelajari mampu membantu pemain-pemain lain menjadi lebih baik di atas padang.

“Saya fikir semua orang tahu permainan di liga Eropah berbeza dengan liga Malaysia. Ia sangat bagus tetapi saya fikir saya ingin cuba membawa permainan bola sepak Eropah ke dalam liga Malaysia.

“Sudah tentu saya kena adaptasi permainan saya tetapi saya ingin tambah sedikit resepi bola sepak Sepanyol. Hanya bola sepak moden, bola sepak mudah yang perlukan satu atau dua sentuhan.

“Taklah terlalu rumit, hanya asas permainan bola sepak seperti yang anda lihat di Eropah,” katanya kepada Nadi Arena.

Difahamkan beberapa pasukan Liga Super sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Allee semasa tetingkap perpindahan kedua Liga M.