Advertisement
Allee Putra Rungkai Perbezaan Liga Malaysia dan Sepanyol
Liga Super
MakanBola
TRW Kelantan FC

Pemain baru Kelantan FC, Allee Putra Azril mengakui wujud perbezaan dari corak permainan bola sepak yang diamalkan di Malaysia dan Sepanyol.

Pandangan ini timbul terima kasih kepada pengalamannya pernah berada di Akademi Malaga City selama dua musim. Malah, nama Allee juga menjadi sebahagian daripada 14 pemain terbaik Akademi Malaga City yang ditawarkan biasiswa penuh bagi musim 2022-2023.

Walaupun berbeza dari segi corak permainan, pemain tengah berusia 18 tahun ini melihat kualiti bola sepak negara semakin baik terutama dari segi intensiti perlawanan.

Allee sudah merasakannya selepas membuat kemunculan pertama bersama Kelantan FC dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada minggu lepas.

“Alhamdulillah pertama sekali saya amat bersyukur dapat membuat debut bersama Kelantan FC walaupun hanya bermain selama 27 minit dan ia adalah satu pengalaman amat berharga dapat berdepan gergasi bola sepak tanah air (JDT).

“Kalau nak bandingkan dengan corak permainan di sana (Sepanyol) dan di sini memang tidak sama tetapi apa yang saya nampak kualiti bola sepak di tanah air ini semakin baik terutamanya daripada segi intensiti perlawanan.

“Mengenai kesebelasan utama, bergantung kepada barisan kejurulatihan tetapi apa yang mampu saya lakukan hanyalah memberikan 100 peratus jiwa raga kepada pasukan ini dan harapan saya untuk bangkit menjunjung kembali maruah Kelantan FC,” katanya selepas tamat perlawanan.

Skuad Kijang ketika ini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan lima mata selepas 18 perlawanan. Selepas ini, mereka akan berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 9 Ogos ini.