Amaran awal yang dilaungkan oleh Erik Ten Hag dalam ucapan terakhirnya di Stadium Old Trafford telah menjadi kenyataan.
Ten Hag telah memberi amaran kepada pihak lawannya bahawa pasukan United akan meraih dua kemenangan dalam baki dua aksi dan berjanji akan membawa pulang Piala FA ke Old Trafford.
“Musim ini belum berakhir, pertama kita ke Brighton untuk dapatkan 3 mata lagi dan kemudian kita akan ke Wembley.
“Saya berjanji kepada kamu bahawa pemain-pemain ini akan memberikan segalanya untuk memenangi Piala FA ini dan membawanya pulang ke Old Trafford.
“Dan saya pasti kamu semua akan berada di sana menyokong kami. Terima kasih kerana menjadi penyokong terbaik di dunia ini.” ujar Ten Hag.
Bukan sekadar memberikan janji palsu, Ten Hag memastikan United menewaskan Brighton 2-0 dalam aksi terakhir liga walaupun menamatkan saingan di tangga ke-8 liga.
Manchester United turut menjulang Piala FA mengalahkan cabaran juara Premier League, Manchester City dengan keputusan 2-1 untuk memastikan pasukan tersebut layak ke pertandingan Liga Eropah musim hadapan.
Malah United turut akan melawan Manchester City sekali lagi pada pembukaan musim hadapan dalam perlawanan Perisai Komuniti 2024/2025 setelah bergelar juara Piala FA.
Pengendali kelahiran Belanda itu telah membantu United memenangi Piala Carabao dan Piala FA sepanjang dua musim yang penuh cabaran di Manchester United.
Ten Hag masih mempunyai baki kontrak semusim lagi namun pemilik United masih belum mengumumkan sama ada pengurus tersebut akan kekal atau dipecat pada akhir musim ini.