AMD ‘Bantai’ Fagiano Okayama 5-1

AMD Dream Fagiano Okayama Piala Supermokh 2023 NFDP AMD 'Bantai' Fagiano Okayama 5-1
NFDP
Azim Noor @mohdazim45
11:17pm 11/10/2023

Kecemerlangan wakil negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream diteruskan hari ini apabila mereka membelasah skuad B-13 Fagiano Okayama dalam aksi kedua Piala Supermokh 2023.

Selepas membelasah wakil Hong Kong, Zhejiang Professional FC 4-0 semalam, anak-anak buah Ekhsan Bukharee Badarul Hisham melihat wakil Jepun itu sebagai mangsa seterusnya.

Begitupun, cuaca panas dan cabaran fizikal yang dibawa pemain-pemain Okayama memberi kesukaran kepada pemain-pemain AMD Dream.

Taktik tersebut tidak menghalang mereka daripada menjaringkan gol pada babak pertama menerusi Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz pada minit ke-23.

Keceriaan AMD Dream tidak bertahan lama apabila Okayama menyamakan kedudukan menerusi Shunya Kawamoto pada minit ke-43.

Bersambung pada babak kedua, Ekhsan Bukharee menukar taktik bagi membolehkan anak-anak buahnya mampu mengakali lawan mereka.

Perubahan tersebut membuahkan hasil dengan empat lagi gol dijaringkan pada babak kedua.

Empat gol ini disumbang oleh Danish Haykal Faisal pada minit ke 49 dan 62, Muhammad Syaifullah Mahruzi (minit ke-65) dan Adam Muzaffar Mohd Rosdi (minit ke-69).

Kini, fokus AMD Dream seterusnya ialah kelab Thailand, Chonburi. Selepas tewas kepada Zhejiang Professional hari ini, mereka pasti mahu bangkit menentang wakil negara.