Annuar Musa: Saya Sedia Bersama Semula
MakanBola
Tan Sri Annuar Musa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyambut baik langkah bekas pemain skuad Treble 2012 yang mengambil alih majoriti saham Kelantan WTS dan merancang penjenamaan semula pasukan itu kepada Kelantan City.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, beliau menyifatkan usaha membentuk konsortium oleh bekas pemain skuad bersejarah Kelantan itu sebagai satu langkah positif dalam usaha memajukan semula bola sepak negeri berkenaan.

Menurut Annuar, kumpulan bekas pemain tersebut memiliki kelebihan tersendiri kerana ramai dalam kalangan mereka sudah mempunyai lesen kejurulatihan AFC, masih aktif dalam arena bola sepak serta mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan.

“Tahniah. Ini satu langkah sangat baik. Di kalangan bekas pemain ramai yang sudah beroleh lesen A dan B kejurulatihan, ramai yang masih aktif bermain dan ramai yang berniaga,” katanya.

Beliau turut berpandangan keputusan konsortium itu untuk memiliki sebuah pasukan semi-pro adalah tepat, lebih-lebih lagi selepas Kelantan Red Warrior (KRW) berjaya mengesahkan tempat ke Liga Pro musim depan.

Menurutnya, usaha memperkasakan Kelantan WTS yang kini beraksi dalam Liga A1 Semi Pro mampu mencetuskan fenomena baharu sekiranya pasukan itu dibentuk dengan kualiti tinggi serta berfungsi sebagai platform pembangunan bakat anak jati Kelantan.

Dalam masa sama, Annuar mencadangkan agar konsortium berkenaan mendapatkan khidmat ketua jurulatih berprofil antarabangsa, manakala barisan penolong jurulatih pula boleh dibarisi bekas pemain skuad Treble 2012.

Beliau juga mengesyorkan supaya pasukan tersebut membawa masuk beberapa pemain import muda dengan kontrak jangka panjang bagi membantu pembangunan pasukan secara berterusan.

Selain aspek pasukan utama, Annuar turut melahirkan minat terhadap hasrat konsortium untuk mewujudkan sebuah akademi bola sepak yang profesional di Kelantan.

Katanya, pembangunan akar umbi merupakan aspek yang amat diperlukan dan beliau menyatakan kesediaan ALHAMRA Group untuk melabur dalam usaha tersebut.

“Saya tertarik dan berminat dengan kenyataan hasrat mewujudkan akademi bola sepak yang baik dan profesional di Kelantan. Insya-Allah ALHAMRA Group sedia melabur di bidang ini dan inilah yang amat diperlukan di Kelantan kita,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ, Annuar turut mencadangkan penubuhan sebuah ‘Hall of Fame’ khas bagi menghargai legasi skuad Treble 2012 yang pernah mencipta sejarah gemilang buat bola sepak Kelantan.

Beliau berpandangan pelbagai artifak, dokumen serta koleksi berkaitan bola sepak negeri itu boleh dihimpunkan sebagai rujukan dan tatapan generasi akan datang.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan agar satu festival tahunan ‘Hari Bola Sepak Kelantan’ diwujudkan bagi menyemarakkan semula budaya dan semangat bola sepak dalam kalangan rakyat negeri tersebut.

Mengakhiri kenyataannya, Annuar berharap pasukan yang dijangka menggunakan nama Kelantan City atau Kelantan Cities United dapat dibentuk dengan pengurusan yang baik, perancangan kewangan yang kukuh serta tadbir urus profesional.

“Saya sedia bersama semula,” katanya, memberikan bayangan kesediaan untuk kembali menyumbang kepada pembangunan bola sepak Kelantan sekiranya diperlukan.