Barisan pemain yang pernah menjadi sebahagian daripada skuad Treble Kelantan 2012 bakal menjadi pemegang saham majoriti Kelantan WTS FC.
Perkara ini dinyatakan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di halaman Facebook TRW Treble 12 pada Ahad.
“Konsortium akan membeli saham majoriti dalam Kelantan WTS FC dan memulakan penglibatan dalam pembangunan sebuah akademi bola sepak (Warriors Treble Soccer School/WTS).
“Konsortium juga akan mengendalikan sebuah pasukan semi-pro yang akan dinamakan Kelantan City,” katanya dalam satu kenyataan.
TRW Treble 12 melihat pengambilalihan ini sebagai simbol dan satu pelan biru baru kepada satu era yang lebih tersusun, profesional dan berpaksikan semangat perjuangan bola sepak Kelantan yang sebenar.
Selepas ini, struktur pengurusan akademi dan Kelantan City akan mula disusun semula dengan penglibatan bekas-bekas pemain TRW Treble 12 yang pernah menjadi tunjang kejayaan pasukan suatu ketika dahulu.
Lebih menarik, usaha konsortium ini turut mendapat sokongan usaha Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa serta beberapa tonggak utama penggerak kejayaan bola sepak Kelantan.
Sidang media pengumuman pertukaran pemegang saham majoriti Kelantan WTS itu diadakan di Kota Bharu pada 30 Mei lalu. Antara figura yang hadir ialah Badhri Radzi, Nor Farhan Muhammad, Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaludin dan Farisham Ismail.
Turut sama hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Kelantan WTS, Wan Muhd Ridhuan Abdullah.