Hantaran Instagram terbaru yang dimuat naik jaguh beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik mencetuskan teka-teki dalam kalangan peminat badminton Malaysia.
Wooi Yik dilihat bukan saja memilih memuat naik gambar beliau dan rakan gandingannya, Aaron Chia berwarna hitam putih. Beliau turut memilih lagu runut bunyi filem Spider-Man: Brand New Day, All for You yang dinyanyikan Eric Chou.
Hantaran itu seolah-olah memberi petanda bahawa Wooi Yik mahu kekal bergandingan dengan Aaron di atas gelanggang. Ini susulan kejayaan mereka layak ke final BWF World Championships 2026 di New Delhi, India baru-baru ini.
Selepas bergelar juara pada edisi 2022 dan meraih pingat gangsa pada edisi 2023, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara untuk edisi 2026. Mereka tewas kepada wakil China, Liang Weikeng-Wang Chang di peringkat akhir.
Malah, Wooi Yik juga ada memberi bayangan bahawa beliau dan Aaron sedia bergerak sebagai atlet profesional jika itu dapat mengekalkan mereka sebagai gandingan beregu di atas gelanggang.
“Secara peribadi, karier saya tidak panjang lagi, jadi saya perlu mempertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan sekiranya berlaku sebarang perubahan.
“Setakat ini kita tengok dulu rancangan dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan jurulatih. Sudah tentu saya dan Aaron harap kami boleh kekal, tetapi kalau rancangan itu tidak sehaluan, kita akan bincang lagi bagaimana.
“Saya perlu berbincang lebih lanjut dengan jurulatih mengenai hala tuju masa depan kami. Saya masih mempunyai tempoh dua tahun lagi, jadi apabila tiba masanya nanti, saya akan membuat keputusan yang saya rasakan terbaik,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Selepas ini, Wooi Yik akan bergandingan dengan Aaron Tai. Aaron pula akan bergandingan dengan Man Wei Chong dengan kedua-dua gandingan akan beraksi dalam China Masters yang akan berlangsung pada September depan.