Hasrat skuad Malaysia B-17 untuk mengakhiri dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 dengan kemenangan sebagai persediaan ke Piala Asia B-17 tidak kesampaian hari ini. Ini selepas Arab Saudi berjaya menewaskan anak-anak buah Osmera Omaro 4-1 di Stadium UiTM.
Separuh masa pertama menyaksikan The Green Falcons terlebih dahulu di hadapan menerusi Nawaf Nasser Albishri pada minit kelima.
Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol pelawat, Mahmoud Issa menyepak bola terkena Muhamad Dainei Mat Disa memudahkan Dainei menolak bola melepasi jangkauannya untuk gol penyamaan pada minit ke-46.
Separuh masa kedua menyaksikan Arab Saudi tampil lebih garang. Dan mereka tidak menunggu lama berada di hadapan menerusi Nawaf pada minit ke-49.
Tersentak, anak-anak buah Osmera cuba bangkit memburu gol penyamaan buat kali kedua. Dan Dainei hampir melakukannya pada minit ke-52 tetapi hampa apabila sepakan kencangnya terkena palang.
Talal Abu Bakr dan Amar Hamed memastikan Arab Saudi meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas tuan rumah.
Walaupun tewas, Osmera melihat ini peluang mengenalpasti kelemahan yang ada pada skuad B-17 sebelum mereka bertolak ke Bangkok, Thailand pada 12 Jun ini.
Piala Asia B-17 menyaksikan Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand, Yaman dan Laos. Mereka akan memulakan kempen bertemu Yaman di Stadium Thammasat pada 15 Jun ini.