Kejayaan yang diraih oleh negara jiran, Indonesia dalam bidang sukan menarik minat Arab Saudi bagi meminta pertolongan.
Menerusi satu hantaran oleh Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Ario Bimo Nandito Aritedji menyaksikan pertemuan beliau bersama wakil Menteri Belia dan Sukan Arab Saudi, Bader bin Abdul Rahman Al-Qadi.
Perjumpaan yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi ini merupakan pertemuan kedua setelah Oktober lalu yang membincangkan mengenai program strategik berkaitan sukan di antara kedua-dua negara.
“Mesyuarat ini adalah berdasarkan perjanjian kerjasama sedia ada kami sebelum ini pada Oktober 2023 mengenai program strategik pertukaran belia dan atlet, serta pembangunan industri sukan kedua-dua negara,” tulis Ario Bimo di laman Instagram beliau.
Antara hasil mesyuarat tersebut adalah pertolongan yang diminta oleh pihak Arab Saudi bagi membantu meningkatkan prestasi atlet mereka dalam sukan Badminton dan Sepak Takraw dengan kepakaran dari segi pengalaman dan bakat yang dimiliki oleh Indonesia.
“Arab Saudi juga meminta atlet Sepak Takraw dan Badminton Indonesia agar dapat bertukar pengalaman dan bimbingan untuk mengukuhkan bakat sukan masing-masing antara kedua-dua negara,” tambah beliau lagi.
Indonesia merupakan antara kuasa besar sukan badminton dengan para pemainnya sering kali mengharumkan nama negara mereka dengan kejayaan-kejayaan besar di Sukan Olimpik, Thomas Cup dan beberapa siri Jelajah Dunia BWF.
Bagi sukan Sepak Takraw pula, Indonesia juga antara negara yang sering memberi cabaran di beberapa kejohanan Asia dan Asia Tenggara selain Thailand dan juga Malaysia.