Indonesia berpeluang untuk menguji 3 jaguh futsal dunia iaitu Argentina, Jepun serta Arab Saudi dalam kejohanan jemputan 4 Nation World Series 2025 di Jakarta.
Dalam satu hantaran di laman Instagram rasmi Timnas Futsal mengumumkan aksi 4 Nation World Series ini akan disertai oleh 3 buah negara iaitu Argentina, Jepun serta Arab Saudi.
Pasukan Indonesia yang kini berada di ranking ke-24 dunia baru sahaja meraih kejuaraan AFF Futsal Championship di Thailand pada Disember lalu setelah berhasil menewaskan Vietnam di final.
Sementara, Argentina pula hadir selaku pilihan dengan status sebagai pasukan ke-4 dunia dan pernah muncul juara Piala Dunia Futsal 2016 dan meraih naib juara pada edisi 2021 dan 2024.
Jepun pula merupakan juara 4 kali AFC Futsal Asian Cup dan telah tampil di Piala Dunia sebanyak 5 kali selain kini berada dalam kelompok 10 negara terbaik dalam kemas kini ranking FIFA.
Manakala pasukan ke-46 dunia, Arab Saudi melengkapkan 4 negara yang akan tiba ke Jakarta dengan The Green Falcons baru 3 kali mara ke AFC Futsal Asian Cup dan berakhir di aksi kumpulan.
Untuk aksi 4 Nation World Series, Indonesia yang dibimbing Hector Souto akan memulakan aksi menentang Jepun pada 30 Januari ini sebelum berdepan Argentina dan Arab Saudi.
Para peminat boleh mendapatkan tiket 4 Nation World Series ini bermula pada harga 185,000 IDR bersamaan RM51 secara atas talian di laman sesawang yang disediakan.