Aksi pembukaan Piala Dunia Futsal menyaksikan Thailand menewaskan Croatia dalam perlawanan pertama kumpulan B pada Sabtu.
Thailand yang berada di ranking kesembilan dunia tidak menunggu lama untuk berada di hadapan hasil penyudah tonggak utama, Muhammad Osamanmusa seawal minit ke-3.
Gol tunggal dari pemain Jimbee Cartagena di Liga Futsal Sepanyol itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Kembali dari rehat, skuad Gajah Perang terus melancarkan serangan dan berjaya memperoleh jaringan kedua pada minit ke-30 menerusi Ronnachai Jungwongsuk.
Usaha Croatia untuk memburu gol pertama akhirnya berhasil apabila Antonio Sekulic berjaya menewaskan penjaga gol Thailand seminit kemudian.
Aksi tamat, Croatia 1-2 Thailand.
Kemenangan berharga ini meletakkan Thailand kini berada di puncak kumpulan B sementara menunggu perlawanan antara Brazil dan Cuba.
Aksi selepas ini menyaksikan Thailand bakal bertemu Cuba pada 17 September manakala Croatia berdepan tugas getir menentang jaguh dunia, Brazil pada hari yang sama.