Jaguh futsal Asia Tenggara, Thailand bakal berdepan cabaran getir apabila diundi bersama Brazil dan Croatia dalam saingan Piala Dunia Futsal 2024.
Thailand melayakkan diri ke kejohanan berprestij dunia itu setelah muncul naib juara Piala Asia Futsal apabila tunduk 1-4 kepada Iran dalam aksi final yang diadakan pada April lalu di Bangkok Arena.
Pada sesi undian yang berlangsung pada Isnin menyaksikan Thailand diundi di dalam kumpulan B bersama juara dunia lima kali iaitu Brazil, Croatia dan Cuba.
Selain Thailand, empat lagi negara akan membawa cabaran Asia di pentas Piala Dunia itu nanti termasuklah tuan rumah kejohanan, Uzbekistan.
Uzbekistan berada di kumpulan A bersama Belanda, Paraguay dan Costa Rica manakala Afghanistan yang bakal melakukan penampilan pertama pula diundi di dalam kumpulan C bersama naib juara edisi lalu, Argentina, Ukraine dan Angola.
Ujian getir bakal dihadapi oleh satu lagi wakil Asia, Tajikistan apabila diundi bersama-sama juara bertahan edisi lalu, Portugal di dalam kumpulan E bersama Panama dan Maghribi.
Juara Asia, Iran dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara lebih jauh apabila akan menentang Perancis, Venezuela dan Guatemala di kumpulan F nanti.
Piala Dunia Futsal 2024 yang akan berlangsung di Uzbekistan bakal membuka tirainya dari 14 September hingga 6 Oktober ini.
24 pasukan dari enam benua yang berbeza bakal bersaing antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara dunia bagi edisi kali ini.