Umum mengetahui bahawa pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi merupakan pemegang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK 21). Namun mungkin ada sedikit cabaran buat Arif mempertahankannya.
Cabaran terbesar Arif untuk anugerah Pemain Paling Bernilai 2022 sudah tentu pemain sayap lincah Terengganu FC, Faisal Halim yang mempamerkan aksi memberansangkan musim ini tidak kira bersama pasukan kelab mahu pun pasukan kebangsaan.
Melalui satu ciapan twitter dari Azri Haziq, beliau mendedahkan bahawa kedua-dua pemain ini dijangka bersaing sengit untuk gelaran MVP 2022 dengan statistik menunjukkan tiada perbezaan ketara antara kedua-dua pemain ini.
Untuk musim 2022, Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey telah meledak 11 gol dan telah menyumbang 15 bantuan gol daripada 27 penampilan. Manakala Arif Aiman pula sudah meledak 7 gol dan menyumbang 16 bantuan gol daripada 27 penampilan.
Jika dinilai dari segi statistik jaringan dan bantuan gol, Faisal Halim dilihat mempunyai kelebihan untuk memenangi MVP pada tahun ini tambahan pula, Faisal turut meledak 2 gol buat skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Brunei 4-0 dan menewaskan Turkmenistan 3-1.
Namun begitu, kedua-dua pemain ini masih mampu meningkatkan lagi prestasi dalam saingan Piala Malaysia musim ini memandangkan JDT dan Terengganu FC layak ke suku akhir. Anugerah Bolasepak Kebangsaan kebiasaannya diadakan pada hujung tahun selepas tamat musim.