Pemain sayap Johor Darul Ta’zim. (JDT), Arif Aiman Hanapi terpaksa disisihkan daripada skuad kebangsaan apabila dilaporkan mengalami kecederaan hamstring.
Bintang berusia 20 tahun itu berada dalam senarai 27 orang pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk membawa cabaran negara berdepan Turkmenistan dan juga Hong Kong.
Namun begitu, menerusi satu kenyataan oleh Johor Southern Tigers, kedua-dua pemain ini terpaksa menarik diri selepas tidak dapat beraksi kerana kecederaan.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Arif dan Endrick telah mengalami kecederaan. Pemeriksaan perubatan dari doktor Skuad Kebangsaan mengesahkan bahawa dua pemain ini tidak dapat beraksi untuk tempoh 6-7 hari. “
“Arif pertama kali melaporkan kecederaan hamstringnya kepada doktor skuad kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan minggu lepas manakala Endrick dikeluarkan selepas separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali.”
Arif bagaimanapun dilaporkan sudah pun merujuk kepada doktor di kem kebangsaan sebelum aksi menentang Turkmenistan manakala Endrick pula terpaksa dikeluarkan pada babak pertama akibat kecederaan buku lali.
“Tidak ada gunanya kedua-dua mereka kekal di kem kebangsaan apabila mereka sudah pasti tidak dapat beraksi dalam perlawanan pasukan kebangsaan seterusnya disebabkan kecederaan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim , Alistair Edwards.
Malaysia akan bertemu Hong Kong esok dalam usaha meraih kemenangan bermakna bagi mengumpul mata FIFA untuk memperbaiki kedudukan skuad kebangsaan.