Advertisements
Asean Club Championship Kini Dikenali Sebagai Shopee Cup
Asia Tenggara
MakanBola
ASEAN FF

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan nama rasmi ASEAN Club Championship sebagai Shopee Cup.

Perubahan nama ini dibuat selepas Shopee diumumkan sebagai rakan penaja rasmi kejohanan.

Shopee turut diumumkan sebagai rakan penaja untuk kejohanan-kejohanan utama ASEAN lain yang dianjurkan AFF.

Shopee Cup bakal menampilkan 12 pasukan utama rantau Asia Tenggara dan bakal bersaing dalam 40 perlawanan.

Selaras dengan perubahan liga-liga serantau yang mengikut kalendar yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shopee Cup bakal berlangsung dari 17 Julai 2024 hingga 21 Mei 2025.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Shopee, Zhou Jun Jie menyifatkan Shopee Cup mampu menghubungkan jenama platform beli-belah dalam talian itu dengan peminat bola sepak serantau.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sebagai penaja utama Shopee Cup yang julung kali diadakan.

Shopee Cup memberi peluang kepada kami untuk berhubung dengan peminat di seluruh rantau Asia Tenggara dan melibatkan diri dengan demografi belia.

“Melalui (kejohanan) ini, kami berharap dapat memperkenalkan jenama Shopee kepada khalayak baru dan terus berhubung dengan pembeli sedia ada dengan cara menghiburkan dan menyeronokkan,” katanya.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan kerjasama AFF dan Shopee mampu membawa bola sepak Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi.

“Hari ini menandakan satu lagi pencapaian hebat dalam bola sepak ASEAN. Shopee Cup akan memainkan penting dalam mewujudkan masa depan yang menarik untuk bola sepak kelab ASEAN dan mengubah permainan di rantau ini.

“Kejohanan ini akan memupuk aspirasi untuk kelab terkemuka di rantau ini bergelar juara ASEAN dan beraksi cemerlang di (peringkat) Asia.

“Kami amat berbangga bekerjasama dengan Shopee, sebuah syarikat ASEAN tempatan yang terkenal di peringkat global dan rakan kongsi kejuaraan pertama AFF Club Championship.

“Kita sama-sama mencipta sejarah ketika kita membentuk dan mempercepatkan pembangunan bola sepak kelab ASEAN,” ujarnya.

Kejohanan ini bakal menyaksikan penyertaan dua kelab masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Sementara Singapura dan Filipina pula bakal diwakili sebuah pasukan.

Manakala juara liga Brunei, Cambodia, Laos dan Myanmar pula bakal bersaing dalam penentuan play-off untuk merebut baki dua slot.

12 kelab yang layak akan diundi dalam kumpulan menerusi undian rasmi kumpulan. Setiap kumpulan bakal menempuh lima perlawanan dengan pasukan pertama dan kedua setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Format separuh akhir dan final kejohanan bakal menggunakan format home dan away.