ASEAN Hyundai Cup: 3 Negara Sah Tersingkir Awal
MakanBola
Cambodia FF

3 negara termasuk Kemboja mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.

Saingan ASEAN Hyundai Cup yang sedang rancak berlangsung ketika ini sudah memasuki babak menarik apabila aksi peringkat kumpulan semakin hampir menuju penamat dengan berbaki satu lagi perlawanan pada minggu ini.

Setakat ini, hanya Timor Leste yang sudah pun beraksi dalam 4 perlawanan di peringkat kumpulan, sekali gus menamatkan perjalanan skuad Lafaek ini tanpa sebarang kemenangan dan menjadi negara pertama yang tersingkir di ASEAN Hyundai Cup.

Mengiringi Timor Leste, adalah Kemboja yang turut berada di kumpulan A, namun mampu menang sekali dalam 3 perlawanan yang menyaksikan skuad kendalian Koji Gyotoku gagal melangkah ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu aksi.

Laos menjadi negara pertama dari kumpulan B yang terkandas di peringkat kumpulan setelah gagal mencatatkan kemenangan dalam 3 aksi sebelum ini dan akan menutup kempen bertemu Myanmar pada petang Selasa di tempat lawan.

Daripada 10 negara peserta pada edisi ini, 3 pasukan sudah sah tersingkir di peringkat kumpulan dengan nasib 3 lagi pasukan bakal diketahui ketika aksi terakhir, selain 4 buah negara yang akan melangkah ke peringkat seterusnya nanti.

Ketika ini, Vietnam dan Singapura mendahului carta dua pasukan terbaik untuk kumpulan A manakala di kumpulan B pula, Thailand dan Malaysia masing-masing mengumpul 6 mata dan dianggap calon terbaik bagi layak ke separuh akhir.