Filipina mencipta kejutan dengan bangkit menundukkan pasukan Laos dalam aksi ketiga Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 di laman lawan.
Selepas tewas 0-4 di tangan Malaysia, anak buah Vladica Grujic berazam untuk bangkit memburu kemenangan. Filipina juga memburu misi sama memandangkan ini aksi kedua mereka dalam Kumpulan B selepas tunduk 1-4 di tangan Myanmar.
Chony Wenpaserth terus menjadi pilihan Grujic untuk mengemudi jentera serangan Laos. Penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Quincy Kammeraad mengawal gawang Filipina.
Sebaik perlawanan bermula, Laos yang beraksi selaku pasukan tuan rumah mendominasi perlawanan. Jentera serangan mereka diketuai Kouaycheng Noophackde kerap mencemaskan kubu pelawat diketuai Adrian Ugelvik.
Penyokong Filipina terkedu apabila Laos membuka tirai jaringan pada minit ketujuh. Kapten pasukan, Damoth melepaskan satu rembatan kencang dari luar kawasan kotak penalti sehingga dapat menewaskan Quincy Kammeraad sekali gus menceriakan penyokong-penyokong sendiri yang berada di stadium.
Selepas itu, Laos terpaksa akur beraksi dengan 10 pemain selepas P. Somsanid dilayangkan kad merah seawal minit ke-14.
Tersentak, Filipina cuba mengatur semula rentak dengan sokongan padu penyokong. Meskipun begitu, serangan bertali arus Laos menyukarkan Filipina untuk melakukan serangan.
Jaringan 1-0 tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama aksi.
Bersambung pada babak kedua, Filipina berjaya mencipta kejutan dengan menjaringkan 3 gol dalam tempoh 15 minit pertama menerusi Lucero, Sydavong (jaringan sendiri) dan J. Gayoso sebelum D. Sato meledak jaringan pada penghujung babak kedua. Keputusan 1-4 kekal sehingga tamat perlawanan.