ASEAN Hyundai Cup: “Malaysia Tak Tertekan” – Tan Cheng Hoe
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu para pemain kekal bermotivasi dan tampil tanpa tekanan meskipun lawan membawa rekod gah dalam aksi Vietnam vs Malaysia pada Rabu.

Aksi timbal balik kedua antara Vietnam vs Malaysia akan menentukan slot ke final ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan pasukan Pahlawan Naga Emas ini memiliki kelebihan dua jaringan hasil kemenangan 2-0 di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Kemenangan itu turut melebarkan rekod tanpa kalah Vietnam di bawah bimbingan Kim Sang-sik kepada 24 perlawanan, sekali gus menjadikan pertemuan ini sebagai satu cabaran getir buat Harimau Malaya memburu tempat ke final.

Walau bagaimanapun, Tan Cheng Hoe kekal positif dan mahukan pemain-pemain negara turun dengan keyakinan tinggi meskipun sedar rekod hebat dimiliki oleh Vietnam, ditambah pula sokongan padu dari peminat mereka di stadium nanti.

“Dalam bola sepak, kadang kala kita kena turun dengan keyakinan bahawa kita mampu mengubah keputusan. Namun, kami tetap menghormati skuad kebangsaan Vietnam,” ujar Tan Cheng Hoe ketika sesi sidang media.

“Ini kerana mereka mempunyai rekod yang sangat baik di bawah kendalian Kim Sang-sik yang belum tewas dalam lebih 20 perlawanan (setakat ini).”

“Jadi, dengan semua statistik dan rekod itu, kami tetap perlu bermotivasi dan memiliki keyakinan.”

“Walaupun kami tahu, esok stadium bakal dipenuhi penyokong yang akan memberikan sokongan kepada pasukan Vietnam, kami akan memberi aksi yang terbaik, membuat persiapan dan menganalisa permainan kami.”

“Pada masa yang sama, saya rasa kami tidak terlalu tertekan dengan situasi ini.”

Aksi Vietnam vs Malaysia akan berlangsung pada Rabu, 19 Ogos 2026 di Stadium My Dinh dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 9 malam waktu Malaysia.