Malaysia berdepan cabaran sukar untuk memburu tiket ke final ASEAN Hyundai Cup apabila tewas kepada juara bertahan, Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama.
Kedua-dua pasukan memiliki misi sama iaitu memburu bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Hanoi, Vietnam pada 19 Ogos. Malaysia juga memiliki misi menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam buat kali pertama sejak 2014.
Pemain baharu PSM Makassar, Sergio Aguero terus diberi kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untuk memimpin jentera tengah Harimau Malaya. Nguyen Xuan Son menjadi sandaran gol jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik.
Separuh masa pertama menyaksikan Cheng Hoe terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-16. Bek tengah Kuching City FC, Rodney Celvin Akwensivie tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.
Hal ini mendorong Cheng Hoe memberi peluang kepada Aysar Hadi Mohd Sapri membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.
Malaysia hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-34. Selepas Patrik Le Giang berjaya menyekat percubaan kapten, Paulo Josue, percubaan susulan Daryl Sham pula melepasi palang gol.
Vietnam hampir merobek gawang Malaysia pada minit ke-45 menerusi Nguyen Dinh Bac. Malangnya, percubaan beliau berjaya dinafikan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa, Xuan Son memastikan Vietnam memiliki kelebihan satu gol.
Bersambung selepas rehat, Pahlawan Bintang Emas terus mengasak benteng Malaysia untuk menambah bekalan gol.
Tatkala Vietnam terus mengasak, pasukan pelawat menyangka ditimpa malang pada minit ke-61. Pembantu pengadil mengesan Le Giang menampan bola di luar kotak penalti Vietnam.
Situasi ini mendorong pengadil Uzbekistan, Rustam Lutfullin pada awalnya melayangkan kad merah terhadap penjaga gol berusia 33 tahun itu. Walau bagaimanapun, Lutfullin kemudiannya membatalkan kad merah selepas menyemak semula insiden dengan VAR.
Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Haqimi Azim Rosli dan Ibrahim Manusi menggantikan Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad. Seperti Aysar Hadi, ini penampilan pertama Ibrahim bersama Harimau Malaya.
Vietnam meraih gol kedua menerusi jaringan sendiri Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-86. Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II bernasib malang apabila tertampan bola ke gawang sendiri.
Malaysia terus berusaha mencari gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Vietnam membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Hanoi pada 16 Ogos.
Sofascore memilih Aguero sebagai pemain terbaik Malaysia dengan markah 7.5. Bui Hoang Viet Anh pula merupakan pemain terbaik Vietnam dengan markah 7.5.