Jurulatih Thailand, Anthony Hudson mengakui merasa malu apabila ditegur ibunya sendiri berhubung insiden panas yang tercetus antara beliau dan jurulatih Singapura, Gavin Lee baru-baru ini.
Insiden tersebut berlaku selepas aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup antara Singapura dan Thailand di Stadium Jalan Besar.
Selepas perlawanan, Hudson dan Lee dilihat bertelagah ketika hendak bersalaman. Insiden tersebut memaksa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Desmond Ong masuk campur dan menghentikan insiden itu daripada berlarutan.
Hudson kemudiannya memaklumkan kepada media bahawa insiden itu hanya perkara biasa dalam bola sepak. Bekas jurulatih BG Pathum United itu turut menyatakan rasa hormat kepada Lee dan Singapura atas prestasi yang ditampilkan mereka.
Meskipun begitu, insiden itu kemudiannya disentuh ibu Hudson dalam satu panggilan video selepas kembali ke Bangkok, Thailand. Jurulatih berusia 45 tahun itu mengakui merasa malu apabila mendapat teguran ibunya berhubung apa yang berlaku.
“Rasa malu dan saya tanya diri sendiri, ‘Kenapa saya lakukannya?’ Kemudian bila kita tiba di lapangan terbang semalam dan buat panggilan FaceTime dengan ibu saya, perkara pertama dia cakap bukan tahniah atas keputusan yang diraih.
“Dia tanya, ‘Apa benda yang kamu lakukan pada akhir permainan?’ Jadi, saya rasa bersalah tentang situasi itu pada pagi hari ini,” katanya seperti dilaporkan All Things Thai Football.
Hudson turut menjelaskan apa yang berlaku berpunca daripada semangat dan emosi beliau sebagai penggiat bola sepak. Bekas jurulatih New Zealand itu turut mengulangi rasa hormat kepada Lee dan skuad Singapura.
“Bola sepak tanpa emosi itu kosong. Saya seorang individu yang bersemangat. Saya memiliki rasa hormat yang tinggi kepada Gavin dan para pemain (Singapura).
“Saya fikir mereka telah melakukan satu tugas yang hebat. Jadi, saya cukup menghormati skuad kebangsaan Singapura,” tambahnya.
Thailand memiliki kelebihan dua gol selepas menewaskan Singapura 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama. Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Rajamangala pada Selasa untuk menentukan pasukan mana layak ke final.