ASEAN Hyundai Cup: Vietnam Hilang ‘Orang Besi’
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam menerima tamparan hebat menjelang aksi separuh akhir kedua ASEAN Hyundai Cup menentang Malaysia apabila kehilangan khidmat Nguyen Van Vi.

TheThao247 melaporkan Van Vi mengadu merasa tidak selesa pada bahagian kaki ketika menjalani latihan pada 18 Ogos lalu. Bek kiri berusia 28 tahun itu kemudiannya berjalan perlahan sambil diiringi doktor pasukan.

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik dilaporkan menghabiskan masa lama berbual dengan Van Vi. Hal ini menunjukkan keadaan bek kiri Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) itu dipantau rapi oleh pasukan perubatan.

Sebelum ini, Van Vi mengadu merasa tidak selesa di bahagian sama. Situasi itu tidak menghalangnya beraksi dalam aksi separuh akhir pertama di Cheras, Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu.

Selain membantu Vietnam meraih kemenangan 2-0, beliau turut membantu pasukan itu tidak dibolosi sepanjang perlawanan berlangsung. Situasi kecederaan Van Vi dijangka dipantau lebih-lebih lagi jika Vietnam berjaya mara ke final.

Memandangkan Vietnam memiliki kelebihan dua gol dan beraksi di gelanggang sendiri, Sang-sik boleh memilih untuk merehatkan Van Vi. Ini membuka ruang kepada bek kiri Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Doan Van Hau beraksi dalam kesebelasan utama.

Sekiranya Van Hau diturunkan, beliau dijangka diberi tugas mengawal pemain sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh. Hal ini berpotensi melanjutkan persaingan antara kedua-dua pemain sejak tahun 2018.

Meskipun kerap menentang Sumareh di atas padang, Van Hau cukup menghormati pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu.