Doan Van Hau Kagum Aksi Mohamadou Sumareh
MakanBola
MNT/VFF

Pemain pertahanan Vietnam, Doan Van Hau mengakui kagum dengan aksi mantap yang dipamerkan pemain sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh.

Pandangan pemain berusia 27 tahun itu dibuat berdasarkan pengalaman menentang Sumareh di peringkat antarabangsa sejak tahun 2018.

Pemain Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) itu bukan saja menyifatkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu seorang pemain yang kuat.

Malah, Van Hau menyifatkan pengalaman yang dimiliki Sumareh cukup berharga buat skuad yang dibimbing Tan Cheng Hoe untuk mengharungi kempen ASEAN Hyundai Cup.

“Saya kagum dengan Mohamadou Sumareh. Saya bermain menentang beliau sejak 2018. Dan beliau merupakan seorang (pemain) yang sangat kuat.

“Tahun ini beliau antara pemain yang lebih berpengalaman dalam skuad kebangsaan Malaysia dan beliau mempunyai banyak pengalaman,” katanya kepada ASEAN United FC My.

Van Hau berharap beliau dan rakan-rakan sepasukannya dapat menyekat Sumareh bagi membantu Vietnam meraih keputusan positif di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Harapnya seluruh pasukan dapat mengawal beliau dengan baik dan saya harap Vietnam boleh meraih kemenangan,” tambahnya.

Malaysia dan Vietnam berentap dalam aksi separuh akhir pertama pada Ahad untuk memburu bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Hanoi pada 19 Ogos.