Pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh mengakui peluang beraksi bersama Harimau Malaya sebagai peluang kedua buat dirinya.
Selepas dipanggil untuk kempen ASEAN Hyundai Cup, nama pemain sayap berusia 31 tahun itu kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak negara.
Kelincahan dan kepantasan Sumareh ketika membuat larian menjadi igauan ngeri buat pemain pertahanan lawan. Hal ini mengingatkan penyokong terhadap nama jolokannya, Keliboy ketika bersama Sri Pahang FC.
Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, Sumareh mengakui menghargai peluang yang diberikan jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe.
Beliau juga melihat peluang ini sebagai peluang kedua buat dirinya untuk kembali mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya sudah rasa perasaan bila dipuji dan dikecam. Kini, ia tidak mengganggu saya. Apabila saya mendapat pujian atau kecaman, ia langsung tidak mengganggu diri saya.
“Saya teringat TMJ (DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor) pernah beritahu saya bahawa bola sepak sentiasa beri peluang kedua. Dan saya tak faham apa maksudnya.
“Sekarang, saya faham ini peluang kedua saya untuk kembali dan mendapatkan penyokong kembali bersama saya. Dan sekarang mereka menyokong saya sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.
Sumareh turut menyifatkan perjuangan Harimau Malaya masih belum selesai. Selepas ini, skuad negara bakal menentang juara bertahan, Vietnam di peringkat separuh akhir.
Meskipun sedar dengan status Pahlawan Bintang Emas sebagai pasukan pilihan, pemain naturalisasi negara itu melihat tiada perkara yang mustahil dalam bola sepak.
“Tugas kita belum selesai, kita masih perlu harungi separuh akhir (menentang Vietnam). Di peringkat separuh akhir, apa saja boleh berlaku.
“Tiada siapa menjangkakan kita ke separuh akhir tetapi kita berjaya layak. Sekarang, kita akan lihat apa yang berlaku seterusnya,” ujarnya.
Sejak bergelar pemain naturalisasi Harimau Malaya pada 2018, Sumareh merekodkan 36 penampilan, tujuh gol dan enam bantuan gol.