Juara dunia regu lelaki 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya mengatasi tentangan Liu Yuchen dan Ou Xuanyi dari China untuk layak ke separuh akhir regu lelaki Sukan Asia 2023.
Dari segi ranking, kedua-dua regu hanya dipisahkan tiga anak tangga dengan Aaron-Wooi Yik menduduki ranking kelima BWF. Sementara Yuchen-Xuanyi pula menduduki ranking kelapan dunia.
Sebaik set pertama bermula, Yuchen-Xuanyi memulakan perlawanan dengan garang. Pada satu ketika, mereka mendahului 8-5.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar dan memastikan kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit mendapatkan mata. Yuchen-Xuanyi tampak selesa mendahului pada kedudukan 13-11.
Walaupun berjaya mendahului regu China itu pada kedudukan 18-15, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan regu tuan rumah dengan keputusan 21-19. Ini memaksa perlawanan diheret ke set ketiga.
Set ketiga menyaksikan tentangan sengit daripada Yuchen-Xuanyi bagi menghalang regu Malaysia itu daripada meraih kemenangan.
Namun begitu, regu nombor lima dunia itu berjaya mengatasi tentangan mereka dan menang dengan keputusan 21-18.
Ini memastikan Malaysia mempunyai wakil di separuh akhir acara badminton selepas empat lagi wakil negara tersingkir di suku akhir. Ini termasuk Lee Zii Jia yang tewas kepada H.S. Prannoy.