Advertisement
Asian Games: Malaysia Belasah Indonesia 9-2
UltraSukan
UltraSukan
19th Asian Games Hangzhou

Skuad hoki senior Malaysia terus membuktikan kejaguhan mereka apabila membelasah Indonesia 9-2 dalam aksi ketiga Kumpulan B Sukan Asia 2023.

Perlawanan hari ini dilihat menarik kerana pertembungan dua jurulatih negara, Arul Selvaraj dan Muhammad Dharma Raj Abdullah. Dharma bukan asing kepada The Speedy Tigers kerana pernah melatih mereka satu ketika dahulu.

Begitupun, itu bukan halangan buat skuad negara membuka jaringan pada minit kelima menerusi Ashran Hamsani. Keceriaan kem negara tidak bertahan lama apabila Indonesia menyamakan kedudukan pada minit ke-14.

Tersentak, The Speedy Tigers menggandakan asakan. Hasilnya, Firhan Ashari kembali meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-17.

Ini disusuli pukulan penalti padu yang dibuat Najmi Farizal Jazlan dua minit selepas itu. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The Speedy Tigers makin garang memburu gol. Kebimbangan Dharma bahawa anak-anak buahnya tidak boleh mengekang asakan Malaysia menjadi kenyataan apabila Faizal Saari dan Najmi menyudahkan dua pukulan penalti pada minit ke-33 dan 35.

Skuad negara makin selesa apabila Shello Silverius menyumbat gol padang pada minit ke-38. Azrai Aizad Abu Kamal menambah derita Indonesia dengan gol ketujuh pada minit ke-42.

Seminit selepas itu, pakar penalti The Speedy Tigers, Razie Rahim memastikan mereka jauh mendahului dengan gol kelapan pada minit ke-43.

Dengan Indonesia bermain dengan 10 orang selepas Muhammad Fadli dilayangkan kad hijau, kesempatan itu dimanfaatkan skuad negara. Razie tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-45 untuk menyumbat gol kesembilan.

Bagaimanapun, Indonesia menambah satu lagi gol menerusi penalti stroke kapten Aulia Akbar Al Ardh pada minit ke-55.

Kemenangan ini membolehkan Malaysia kembali merampas kedudukan pendahulu Kumpulan B daripada Korea Selatan buat sementara waktu. Bagaimanapun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya Korea Selatan meraih kemenangan ke atas China malam ini.