Skuad hoki lelaki Malaysia hampa apabila gagal layak ke separuh akhir Sukan Asia 2023 selepas diikat 4-4 dengan China dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Dengan tuan rumah mengutip 12 mata selepas membelasah Thailand 9-0 semalam, anak-anak buah Arul Selvaraj perlu menewaskan China untuk mara ke separuh akhir atas kelebihan jaringan.
Begitupun, The Speedy Tigers bermula dengan langkah kiri apabila dibolosi pukulan penalti Gao Jiesheng pada minit ke-13.
Malaysia bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18. Bagaimanapun, China kembali di depan menerusi penalti Chen Qijun dua minit kemudian.
Tuan rumah kemudiannya tergamam apabila hantaran laju skuad negara mudah disempurnakan Ashran Hamsani untuk gol penyamaan pada minit ke-25.
Bersambung pada babak kedua, Amirul Hamizan Azahar meletakkan The Speedy Tigers di hadapan menerusi pukulan penalti pada minit ke-35. Bagaimanapun, tindakan Aminudin Mohd Zain mengasari pemain China menyaksikan China diberi penalti stroke.
Penalti stroke tersebut mudah disempurnakan Pan Dongquan menewaskan Hafizuddin Othman pada minit ke-35. Lima minit kemudian, Malaysia kembali mendahului menerusi pukulan penalti Faiz Helmi Jali.
Begitupun, China berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Zhu Weijiang pada minit ke-43. Keputusan 4-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini melonjakkan China sebagai juara kumpulan dan tidak perlu berhadapan dengan India di peringkat separuh akhir.
Keputusan ini juga menyaksikan Malaysia perlu bersemuka dengan Pakistan bagi penentuan tempat kelima dan keenam pada 6 Oktober ini.