Skuad hoki senior Malaysia memulakan kempen Sukan Asia 2023 di Hangzhou dengan langkah kanan apabila membelasah Thailand 9-0 dalam aksi pertama Kumpulan B.
Babak pertama menyaksikan Speedy Tigers tampil garang. Dan mereka tidak menunggu lama membuka jaringan menerusi jaringan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit kelapan.
Thailand yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Jung-chul berdepan kesukaran menangkis asakan skuad negara. Speedy Tigers makin selesa apabila Firhan Ashari pula menyumbat gol kedua pada minit ke-21.
Malaysia mengakhiri babak pertama dengan gol ketiga menerusi gol Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30.
Bersambung pada babak kedua, Speedy Tigers terus ghairah memburu gol. Gawang Thailand bocor lagi apabila Nik Aiman menjaringkan gol keempat pada minit ke-32.
Thailand terus longlai apabila Azrai Aizad menambah gol kelima pada minit ke-34. Aminuddin Mohd Zain kemudiannya menyempurnakan dua pukulan penalti pada minit ke-43 dan 45.
Thailand hampir membolosi gawang Speedy Tigers pada minit ke-55 tetapi percubaan tersebut dinafikan penjaga gol Hafizuddin Othman.
Pemain tengah Abdul Khaliq Hamirin dan Amirul Hamizan Azahar melengkapkan kemenangan cemerlang Malaysia dengan masing-masing menyumbat gol kelapan dan kesembilan.
Keputusan ini meletakkan Malaysia sebagai pendahulu sementara Kumpulan B. Bagaimanapun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya pencabar Speedy Tigers dalam Kumpulan B, Korea Selatan mencipta kemenangan besar ke atas Indonesia selepas ini.