Advertisements
Asian Games: Malaysia Kempunan Tempat Kelima, Dibelasah Pakistan
UltraSukan
UltraSukan
Hokita

Skuad hoki senior Malaysia sekali lagi hampa apabila dibelasah Pakistan 5-2 untuk penentuan tempat kelima dan keenam acara hoki lelaki Sukan Asia 2023.

Selepas kedua-dua pasukan gagal layak ke separuh akhir, The Speedy Tigers dan The Green Shirts perlu meraih tempat kelima bagi meraih kelebihan dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Malaysia meraih kelebihan awal menerusi pukulan penalti Aminudin Mohd Zain pada minit kelima. Bagaimanapun, Pakistan menyamakan kedudukan menerusi penalti Arbaz Ahmad tiga minit selepas itu.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Pakistan mula menggandakan asakan. Hasilnya, The Green Shirts mendahului menerusi penyerang muda, Abdul Rehman pada minit ke-37.

Dalam tempoh dua minit, mereka menyumbat dua lagi gol masing-masing menerusi Abdul Waheed Ashraf Rana (minit ke-51) dan Muhammad Ammad (minit ke-53).

The Speedy Tigers merapatkan jurang menerusi penalti Razie Rahim pada minit ke-58. Bagaimanapun, Afraz menamatkan sisa perjuangan skuad negara dengan gol kelima pada minit ke-59.

Keputusan ini dijangka mempengaruhi ranking negara dalam kedudukan ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Sebarang kelemahan yang dikesan sepanjang Sukan Asia perlu diperbaiki barisan kejurulatihan diketuai Arul Selvaraj bagi memastikan Malaysia dapat layak ke Sukan Olimpik 2024.