Asmawi Bakiri Ingatkan Harimau Malaya Tentang Ancaman Filipina
MakanBola
Malaysia NT

Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Asmawi Bakiri menggesa skuad negara tidak memandang enteng cabaran Filipina.

Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas undian kumpulan ASEAN Hyundai Cup yang diadakan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Selain Malaysia dan Filipina dalam Kumpulan B, naib juara edisi lalu, Thailand, Laos dan Myanmar turut berada dalam kumpulan sama.

Asmawi menganggap Malaysia memiliki peluang baik untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir.

Pada masa sama, bekas pemain pertahanan Selangor itu mahu anak buah Peter Cklamovski tidak memandang rendah cabaran Filipina. Ini kerana pasukan itu berjaya layak ke peringkat separuh akhir edisi sebelumnya.

“Dalam kumpulan kita sebenarnya, Thailand finalis 2024 dan Filipina semifinal. Jadi, dekat sini dalam kumpulan kita, dua pasukan ini sudah ada gelaran sebagai pasukan yang ke final dan pasukan ke semi-final.

“Jadi, untuk Myanmar dan Laos, kita mengharapkan bahawa kita ada laluan yang boleh kita dapat lebih selesa. Tetapi untuk berdepan dengan Filipina dan Thailand ketika ini, saya rasa itu cabaran kita.

“Dan mungkin kita perlu mencari jalan sedikit untuk bekerja keras ataupun menyusun balik perancangan pasukan untuk lepas sekurang-kurangnya layak ke semifinal nanti,” katanya kepada Nadi Arena.

Harimau Malaya akan membuka cabaran Kumpulan B dengan menentang Myanmar pada 25 Julai ini.