Astro Sambut Musim Baharu PL
MakanBola
Astro

Sempena ulang tahun ke-30 Astro, syarikat itu teruja menyambut musim baharu Liga Perdana (PL) dengan kehadiran legenda bola sepak, penganalisis baharu dan liputan menyeluruh aksi bola sepak bertaraf dunia.

Bagi menandakan permulaan musim 2026/27, Astro telah menganjurkan acara tontonan bersama secara besar-besaran yang menghimpunkan pelanggan Astro, peminat bola sepak, rakan kerjasama dan tetamu jemputan.

Lebih menarik, acara ini turut diserikan lagi dengan kehadiran legenda Arsenal dan England, David Seaman. Seaman yang merekodkan 75 penampilan bersama The Three Lions meluangkan masa bertemu peminat sebelum perlawanan PL antara Hull City dan Manchester United.

Para tetamu juga berpeluang berkenalan dengan penganalisis sukan terbaharu Astro dan bekas pemain pertahanan United, Danny Simpson.

Acara sama turut menampilkan barisan pelakon drama tempatan terbaru Astro PL, I Love You. Drama ini diterbitkan hasil kerjasama bersama PL dan bakal ditayangkan mulai 30 September di Astro Ria (Saluran 104), Astro GO dan Sooka.

Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berpandangan PL bukan saja menawarkan persaingan bertaraf dunia membabitkan kelab-kelab utama England. Malah, ia juga menjadi medan menyatukan emosi para penyokong dalam setiap detik.

“Liga Perdana sentiasa menawarkan lebih daripada apa yang berlaku di atas padang. Liga ini menampilkan persaingan di tahap tertinggi serta tradisi yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian peminat bola sepak.

“Ia juga tentang detik-detik yang dikongsi bersama, perbualan dan pengalaman yang menyatukan para peminat, dan kami komited untuk terus membawakan pengalaman tersebut kepada pelanggan dan peminat kami.

“Sempena ulang tahun ke-30 Astro, kami juga teruja untuk menawarkan akses komplimentari kepada semua pelanggan Astro untuk menikmati keseluruhan rangkaian saluran kami, termasuk saluran sukan, sehingga 16 September, tepat pada masanya untuk permulaan musim baharu Liga Perdana,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang musim Liga Perdana berlangsung, pelanggan pek Sports Astro boleh menikmati aksi PL lengkap dengan analisis pakar, ulasan dalam pelbagai bahasa serta perlawanan terpilih dalam format 4K UHD.

Astro juga akan terus membawakan para peminat pelbagai acara tontonan bersama dan aktiviti menarik di seluruh negara serta peluang untuk merasai kemeriahan Liga Perdana bersama peminat lain.

Pelanggan Astro boleh menebus pelbagai pengalaman eksklusif di acara tontonan bersama melalui aplikasi My Astro, termasuk akses tontonan di bahagian hadapan, makanan dan minuman percuma serta peluang memenangi hadiah istimewa menerusi cabutan bertuah.

Astro turut berbangga untuk mengalu-alukan Maxis sebagai penaja siaran baharu bagi musim PL kali ini, bersama Wonda Coffee dan Zetrix oleh MYEG.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memberikan pengalaman bola sepak yang lebih istimewa serta membawa peminat lebih dekat dengan kemeriahan PL sepanjang musim ini.